Wednesday, April 7, 2010

Salah siapa?


Hujan gerimis pada malam itu mendinginkan suasana malam. Terasa nyaman dan selesa dek hembusan bayu malam membuai suasana. Kerlipan bintang di langit menyerikan lagi suasana malam. Terkadang terdengar bunyi derikan cengkerik memeriahkan suasana malam. Sempat aku malam itu menyelak sehelai demi sehelai suratkhabar metro sekadar mengetahui informasi semasa. Mataku melirik kepada satu berita yang telah menimbulkan persoalan di mindaku. Berita yang memaparkan bagaimana seorang remaja yang merajuk lari dari rumah akibat dimarahi oleh ibunya. Aku terus termenung seketika memikirkan satu permasalahan yang telah berlaku kepada generasi muda masa kini. Aku bertanya pada diriku, kenapa mudah sangat remaja pada hari ini melakukan sesuatu perkara tanpa memikirkan akibatnya? Kadang-kadang aku bingung dengan permasalahan remaja masa kini kerana bila aku mengenang kembali saat aku remaja dahulu, tidak pernah dipaparkan di dada-dada akhbar berita sebegini. Adakah disebabkan dunia sekarang sudah semakin maju dan moden menyebabkan remaja masakini terlalu mudah melakukan kesilapan? Atau mungkinkah remaja masa kini terlalu dimanjakan oleh ibu bapa mereka menyebabkan mereka terlalu manja dan mudah terguris dan terus melakukan tindakan yang tidak sepatutnya? Persoalan demi persoalan terus menerjah ke ruang pemikiranku menyebabkan aku terus berfikir mencari jawapannya. Lama aku merenung memikirkannya, namun belum mendapat jawapannya. Mungkin aku terlalu muda atau ‘tidak matang’ lagi dalam persoalan-persoalan sebegini dek kerana kata-kata orang tua, ‘tak banyak makan garam’. Namun bagiku, bukan persoalan siapa yang banyak makan garam, dialah yang lebih banyak pengalaman hidup, tetapi ialah siapa yang melihat kehidupan ini dengan matahati, dialah yang melihat hakikat sebenar kehidupan.

Pernah aku terdengar satu ungkapan daripada para cerdik pandai yang menyatakan, “Who U are determine how u see, and how u see determine what u get”.Siapa kamu menentukan bagaimana cara kamu melihat, dan bagaimana kamu melihat menentukan apa yang kamu dapat. Satu ungkapan yang ringkas tetapi cukup memberikan makna yang besar kepadaku. Aku cuba kaitkan ungkapan tersebut dengan permasalahan yang dipaparkan oleh akhbar sebentar tadi.

Aku cuba melihat permasalahan ini melalui pandangan matahatiku. Apabila aku melihat permasalahan ini melalui pandangan matahati, maka aku telah mendapat jawapannya. Semuanya harus kembali kepada fitrah atau bahasa mudah ‘back to basic’ . Permasalahan yang berlaku perlu melihat kepada punca masalah tersebut atau istilah yang selalu digunakan oleh guruku Ustaz Pahrol Mohd Juoi, kita perlu lihat kepada ‘real problem’ bukannya ‘presenting problem’. Lihat kepada yang tersirat bukannya kepada yang tersurat. Aku cuba kaitkan persoalan ini dengan satu firman Allah s.w.t ‘Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada suatu kaum sehingga kaum itu mengubah apa yang ada pada dirinya’ ,surah Ar-Raad,11. Apa yang ada pada dirinya? Ya, yang ada pada diri manusia ialah hati, akal dan nafsu. Hati bertindak sebagai raja, manakala akal bertindak sebagai penasihat dan nafsu sebagai penjahat dalam diri. Antara ketiga-tiga elemen yang ada pada diri manusia, hati adalah yang paling penting sekali bagi seseorang manusia untuk membuat keputusan. Namun, jika akal yang bertindak sebagai penasihat tidak memainkan peranan yang baik lalu menasihati kea rah kejahatan, maka hati akan mengikut nasihat akal tersebut. Berbalik kepada masalah remaja yang lari dari rumah tadi, siapakah yang membuat keputusan untuk dia lari dari rumah? Sudah tentu kita katakan remaja tersebutlah yang membuat keputusan. Namun disebalik yang tersurat, perkara yang tersiratnya ialah hatinya yang membuat keputusan tersebut, adakah telah tepat keputusan yang dibuat oleh remaja tersebut? Sudah tentu kita katakan keputusan yan diambil tidak tepat. Jadi, mengapa remaja tersebut membuat keputusan yang tidak tepat? Ini adalah kerana hati remaja tersebut telah sakit atau telah diserang virus. Analogi sebuah komputer yang mempunyai hardware dan software,kita katakan bahawa komputer tersebut telah diserang oleh virus, maka virus akan menyerang bahagian software komputer tersebut. Begitu juga manusia, software manusia ialah 3 elemen utama iaitu hati, akal dan nafsu, manakala hardwarenya ialah bahagian fizikal luaran manusia. Cara mudah bagi kita untuk ‘membunuh’ virus tersebut adalah dengan cara ‘format’ keseluruhan komputer tersebut dan ‘install’ software yang baru ke dalam komputer tersebut. Persoalannya, bagaimana kita ingin mengaplikasikannya kepada manusia? Adakah dengan mudah kita boleh ‘format’ manusia tersebut dan isi dengan software yang baru? Ya, ada jawapan yang baik untuk menjawab persoalan ini.

Manusia boleh di’format’ semula dengan cara kita ‘mencelikkan mata hati’ mereka. Inilah kunci utama kepada permasalahan yang berlaku iaitu kita tidak perlu mencari kesalahan tersebut tetapi kita mencari penyelesaiannya. Kita tidak perlu menuding jari menyalahkan mana-mana pihak apabila berlaku sesuatu masalah. Persoalannya, bagaimana caranya untuk kita celikkan mata hati? Inilah persoalan yang jarang dipandang oleh mana-mana pihak samada ibu bapa, masyarakat mahupun pemimpin masyarakat. Jika kita katakan tubuh memerlukan makanan, maka hati juga perlukan makanan. Jika tubuh manusia memerlukan makanan semuanya berpunca daripada tanah, maka makanan bagi hati semuanya dari nur Ilahi kerana asal hati atau roh manusia adalah daripada Allah s.w.t, jadi makanannya semuanya datang dari Allah s.w.t.

Hati juga memerlukan makanan seperti ikan yang memerlukan air untuk terus hidup. Hati memerlukan siraman zikrullah (mengingati Allah) yang akan menyuburkan hati tersebut, dan apabila hati tersebut telah subur kepada Allah, maka ia akan dapat mencelikkan matahati individu tersebut. Namun, sekiranya hati tersebut gersang daripada zikrullah, maka lama kelamaan hati tersebut akan mati. Aku tinggalkan dahulu persoalan bagaimana untuk mencelikkan mata hati ini pada keesokan hari kerana mataku telah terasa mengantuk ditambah lagi dengan suasana dingin malam yang mengamit diriku untuk dibuai mimpi. Semoga aku mendapat jawapan dan mimpi yang baik bagaimana untuk mencelikkan mata hati agar segala persoalan remaja masa kini dapat diselesaikan, amin.

No comments:

Post a Comment