Wednesday, April 28, 2010

Telor Kicap Ibu


Petang itu setelah selesai berprogram dengan staf TH Plantations Bhd di Seri Pengantin, Janda Baik, Pahang, aku terus memandu keretaku menuju ke kampung halamanku, Jerantut Pahang, tempat di mana aku dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh kedua ibu bapaku. Rasa tidak sabar untuk menemui ibu dan bapaku yang telah sebulan tidak aku temui. Memang kebiasaannya, sekurang-kurangnya sebulan sekali aku akan wajibkan diriku untuk pulang menemui ibu bapaku setelah aku berjauhan di negeri orang mencari rezeki. Dalam pemanduanku, sempat aku memasang CD ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Kazim Al-Hafis mengenai Akhlak Yang Baik. Cara penyampaiannya yang menarik menyebabkan aku begitu berminat kepada isi dan cara penyampaiannya dan aku telah mengumpul banyak siri-siri kuliah yang disampaikan olehnya. Perjalananku untuk sampai ke Jerantut memakan masa selama 2 jam lebih dan sempat aku mendengar 2 kali ceramah yang sama yang disampaikan oleh Ustaz Kazim. Alhamdulilah, banyak peringatan-peringatan dan input yang berguna yang aku perolehi dan akan ku cuba praktikkan dalam kehidupanku.

Aku tiba di bandar Jerantut setelah 2 jam aku memandu sendirian dan aku bercadang untuk berhenti seketika di bandar Jerantut untuk membeli buah tangan untuk ibu bapa dan adik-adikku. Aku singgah di medan selera yang menjadi kebiasaanku sewaktu aku masih di bangku sekolah, tempat makan yang biasa dibawa oleh ayahku. Terkenang aku nostalgia lalu kami sekeluarga makan bersama di tempat itu sambil berborak-borak berkenaan keluarga kami. Aku tidak dapat lupakan kebaikan yang ayahku berikan kepada kami semua dan akan ku balas segala pengorbanannya pada kami.

Aku singgah di sebuah gerai yang menjual ‘sate’ tempatan Jerantut. Aku lihat seorang pakcik tua yang dibantu oleh seorang anak kecil yang tidak jemu menolong pakcik tersebut. Mungkin anak kecil itu adalah anak kepada pakcik tersebut. Aku terus mendekati pakcik tersebut yang mana pada ketika itu telah ada beberapa orang pelanggan yang setia menanti tempahan mereka. Aku terus membuat tempahan kepada pakcik tersebut,”Em, pakcik, saya nak tempah 30 cucuk sate, 15 ayam dan 15 daging, agak-agak ada lagi tak untuk saya?”tanyaku pada pakcik tersebut. Pakcik tersebut tersenyum sambil menjawab,”Ada”. Aku terus mencari tempat duduk berhampiran dengan gerai tersebut sambil melihat gelagat pelanggan-pelanggan yang mengunjungi restoran yang berdekatan. Dalam suasana dingin malam tersebut, hujan mulai turun. Aku terus bangun dari tempatku dan mencari perlindungan di bawah atap restoran berhampiran dan menumpang duduk seketika di situ. Sambil terus menunggu ‘sate’ yang aku tempah siap dimasak, aku terus memerhatikan gelagat anak kecil yang setia membantu pakcik tersebut. Dalam hatiku terdetik rasa terharu pada anak kecil itu yang aku rasakan anak kepada pakcik tersebut, setia menolong bapanya walaupun di usia sekecil itu ramai anak-anak kecil yang lain pada ketika ini sedang sibuk bermain dengan PS3 atau video game di rumah mereka. Tetapi, anak kecil itu ku lihat lebih matang daripada anak kecil yang lain dan aku begitu yakin pasti bila mana dia telah dewasa kelak, dia akan menjadi seorang anak yang baik kepada kedua ibu bapanya.

Hujan semakin lebat membasahi pada malam itu. Aku lihat ‘sate’ ku hamper siap kerana semua pelanggan yang mendahuluiku telah mendapat tempahan mereka . Aku cuba menghampiri pakcik itu sekadar untuk berbual dengannya. Aku lihat, anak kecil yang setia menolong pakcik itu membawa begnya dan meredah hujan malam itu. Mungkin dia ingin pergi tuisyen, bisik hatiku. Aku mendekati pakcik itu yang sedang sibuk membakar ‘sate’ sambil aku bertanya,”Em, pakcik, biasanya satu malam berapa cucuk ‘sate’ yang pakcik dapat jual?” tanyaku spontan sekadar ingin mengetahui.”Biasannya kalau malam-malam biasa dalam 700 cucuk, tak sampai seribu. Tapi kalau malam minggu, Alhamdulillah boleh cecah seribu lebih satu malam,”ujar pakcik tersebut sambil terus membakar ‘sate’ tersebut. Oh, banyak juga jualan pakcik ni, boleh tahan. Sememangnya aku juga begitu berminat dalam bidang perniagaan. Sebelum ini, aku sudah membuat beberapa perniagaan tetapi semuanya tidak Berjaya. Mungkin aku tidak ada ‘bakat’ dalam perniagaan menyebabkan aku tidak Berjaya. Tetapi, aku yakin, satu hari nanti, aku akan cuba buktikan bahawa aku juga mampu ke hadapan dalam dunia perniagaan. Aku terus bertanya kepada pakcik itu,”Em pakcik, biasanya kalau 700 cucuk, berapa ekor ayam yang pakcik gunakan?” soalku seakan seorang pegawai penyiasat. Pakcik itu tidak jemu melayan persoalanku walaupun dia sibuk dengan kerjanya,”Em, kalau 700 cucuk, biasanya pakcik guna 15 ekor ayam,”jawab pakcik tersebut sambil tersenyum. Otakku laju mencongak jumlah untung yang diperolehi oleh pakcik tersebut. Aku cuba mencongak jumlah keuntungan yang akan diperolehi oleh pakcik tersebut. Wah, kalau ditolak dengan kos-kos bahan mentah, pakcik ni boleh dapat dalam RM100 bersih satu malam. Satu pendapatan yang aku kira besar juga bagiku. Inilah rezeki yang dikatakan oleh Rasulullah iaitu 9 per 10 punca rezeki adalah daripada perniagaan. Dalam sebulan pakcik ini boleh mendapat RM3 ribu ke RM4 ribu. Alhamdulillah, mungkin ini rezeki bagi pakcik itu. Mungkin sesetengah orang melihat pekerjaan pakcik ini tidak berbaloi dan tiada ‘standard’, tetapi pada hakikatnya mereka salah menilai seseorang. Ramai mereka yang bekerja di Bandar-bandar besar yang mempunyai ‘standard’ dan pangkat serta bergaji besar, mereka merasakan pekerjaan seperti pakcik tersebut tidak dipandang tinggi dan dipandang ‘lekeh’ oleh orang-orang seperti mereka. Tetapi, pada hakikatnya, ramai antara golongan mereka yang mempunyai ‘standard’ pekerjaan, tetapi hutang keliling pinggang dan juga tidak mempunyai simpanan. Itulah persoalan ‘survivor’ kehidupan, soal rezeki bukan dilihat kepada ‘banyaknya’ duit yang dapat, tetapi dilihat kepada ‘berkat’ yang kita perolehi walaupun sedikit duit atau gaji yang kita perolehi. Pakcik inilah insan yang ‘biasa’ pada pandangan manusia tetapi pada hakikatnya ‘luar biasa’.

Pakcik itu terus membungkuskan ‘sate’ aku yang telah siap dibakar dan aku terus membayar RM17 kepada pakcik tersebut. Pakcik itu memandangku dengan senyuman ikhlas dan dalam hatiku berbisik, zaman ini susah untuk berjumpa orang seperti pakcik ini, baik akhlaknya dan begitu merendah diri kepada orang lain. Aku terus berlari meredah hujan lebat yang mendinginkan suasana malam itu untuk mendapatkan keretaku. Aku terus memandu berhati-hati menyusuri kepekatan malam itu mengikuti jalan-jalan kampung yang tidak mempunyai lampu jalan, takut-takut aku akan bertembung dengan kerbau-kerbau ‘jalanan’ yang suka ‘berusrah’ di atas jalan, maklumlah jalan kampung.

Aku tiba di rumah ibu bapaku setelah hampir 20 minit daripada bandar Jerantut. Aku lihat lampu depan rumahku terpasang dan aku lihat kelibat ibuku membuka pintu rumah. Aku lihat adikku yang paling bongsu sempat memanggil namaku, ‘abang ngah’, itulah gelaran bagiku kerana aku merupakan anak kedua dalam keluargaku. Aku membawa begku menaiki tangga rumahku dan aku terus mencium tangan ibuku dan mengucup wajah ibuku dengan mesra. Tangan ibuku inilah yang setiap hari bila mana aku dilahirkan sehingga aku dewasa kini, tidak pernah berehat memberikan khidmat dan kasih sayangnya dan tidak pernah terungkap dibibirku perkataan ‘jemu’ dalam mendidik aku dan adik-adikku sehingga kami dewasa kini. Adik-adikku juga bersalam denganku tanda hormat mereka sebagai adik kepadaku. Ayahku tiada di rumah malam itu kerana menghantar adikku pergi ke kelas tambahan. Kami terus masuk ke rumah dan aku meletakkan begku ke dalam bilikku. Ibu mengajak aku makan di dapur kerana nasi dan lauk sudah tersedia, cuma lauk dah tinggal sedikit sebab adik-adikku semuanya telah makan. Oleh kerana ibu melihat lauk tidak cukup untukku, ibu terus bertanya kepadaku,”Nak telor goring kicap tak?” soal ibuku terlihat keikhlasan seorang ibu,”Em, boleh juga, dah lama tak makan telor kicap mak,”jawabku sambil melemparkan senyuman kepada ibuku. Ibuku terus sahaja menggoreng telor kicap untukku. Setelah siap menggoreng, ibuku menghidangkannya untukku lantas aku mempelawa ibuku makan sekali. Kebetulan ibuku juga telah selesai makan dengan adik-adikku. Aku makan nasi pada malam itu dengan penuh selera sekali dan aku begitu hairan kenapa selama ini aku juga masak telor goreng yang sama tetapi tidak sesedap ibuku masakkan. Aku teringat kata-kata guruku, beliau mengatakan, masakan air tangan ibu lebih sedap berbanding masakan di kedai kerana ibu memasak dengan ‘kasih sayang’ dan itulah rahsia kasih seorang ibu. Kami sekeluarga berbual mesra pada malam itu dan aku dapt rasakan kasih sayang dari ibu bapaku. Semoga kami sekeluarga dapat terus berbahagia dalam erti kehidupan sebenar ‘memberi dengan kasih sayang’.

No comments:

Post a Comment