Wednesday, April 28, 2010

Sayang Anak Tangan-tangankan.


Malam itu kebetulan semasa aku berada di kampungku, sekolah adikku menganjurkan satu program solat hajat untuk para pelajar darjah 6 yang bakal menghadapi UPSR tidak berapa lama lagi. Aku diajak oleh ayahku untuk pergi sekali ke program tersebut dan aku tidak segan untuk menolak pelawaan tersebut kerana aku memang berminat dengan program-program sedemikian. Malam itu, aku, ayahku dan adikku bertolak ke sekolah adikku sebelum magrib.

Kami tiba di sekolah adikku tepat pada masanya iaitu ketika mana azan magrib sedang berkumandang. Kami bergegas-gegas ke surau dan pada ketika itu aku lihat ramai ibu bapa kepada anak-anaknya datang pada masa yang sama membawa anak mereka ke surau. Aku dan ayahku masuk ke surau sekolah dan aku lihat belum ramai lagi ibu bapa yang sampai. Aku dapat lihat beberapa orang guru yang aku kenal antaranya cikgu Roslan, cikgu Mat dan lain-lain. Aku kenal mereka kerana aku juga pernah bersekolah di situ pada suatu masa dahulu. Aku sempat bersalam dengan cikgu Roslan sambil menunggu ibu bapa yang lain tiba.

Tidak beberapa lama kemudian, seorang pelajar bangun untuk iqamah dan kami terus bangun. Kami diimamkan oleh ustaz sekolah berkenaan dan kami solat magrib secara berjemaah. Sesudah selesai kami semua menunaikan solat magrib, ustaz berkenaan (dah lupa namanya) bangun untuk memberikan taklimat mengenai program selepas ini. Dia memberitahu bahawa sebentar lagi kita sama-sama akan menunaikan solat sunat hajat. Selepas itu, semua ibu bapa dan para pelajar dijemput untuk menjamu selera di kantin sekolah. Selepas selesai menjamu selera, semua ibu bapa dan para pelajar dijemput ke dewan Ariffin di Pejabat Pelajaran Daerah (bersebelahan dengan sekolah) untuk mendengar ceramah motivasi yang akan disampaikan oleh ustaz Rujhan Razali. Beliau memang tidak asing bagiku kerana beliau juga salah seorang fasilitator dalam syarikat kami. Tiba-tiba, ustaz itu menjemput aku untuk mengimamkan solat hajat, terkejut juga aku dibuatnya kerana tanpa perancangan dia menjemputku untuk mengimamkan solat. Aku tanpa berlengah bangun untuk mengimamkan solat walaupun masih ada perasaan terkejut tersebut, aku gagahkan diri untuk mengimamkan solat. Setelah selesai solat, kami sama-sama berdoa memohon agar adik-adik pelajar darjah 6 dapat menjawab soalan peperiksaan nanti dengan jayanya. Selepas itu kami bersalam-salaman dan kami semua bergerak menuju ke kantin sekolah untuk menjamu selera.

Sesudah selesai menjamu selera, kami semua bergerak ke dewan Ariffin untuk mengikuti sesi seterusnya iaitu ceramah motivasi yang akan disampaikan oleh ustaz Rujhan. Setibanya aku ke dewan tersebut, aku bersalaman mesra dengan ustaz Rujhan kerana sudah lama kami tidak bertemu dek kesibukan ustaz Rujhan yang penuh masanya menghadiri jemputan-jemputan ceramah di sana sini. Maklumla, dia sekarang dah terkenal bukan sahaja di negeri Pahang, malah setiap negeri bila disebutkan namanya, pasti ada yang mengenalinya. Aku mengambil tempat di dalam dewan dan semua pelajar-pelajar darjah 6 diminta duduk bersebelahan dengan ibu bapa mereka. Aku sempat melihat gelagat adik-adik darjah 6 ini duduk bersebelahan dengan ibu bapa mereka. Nampak kemesraan yang tercermin di wajah kedua-dua insan yang sememangnya akrab dalam kekeluargaan.

Aku mendengar dengan tekun setiap isi penyampaian oleh ustaz Rujhan. Memang menarik dan tak kering gusi dibuatnya bila penyampaiannya diselitkan dengan lawak-lawak santai menceriakan suasana. Walaupun terdapat dua golongan iaitu golongan anak-anak dan satu lagi golongan ibu bapa, ustaz Rujhan memang pandai menawan hati kedua-dua golongan ini untuk terus memberikan perhatian kepada ceramah beliau. Tidak hairanlah beliau sekarang memang ‘famous’ kerana penyampaian beliau yang cukup menarik. Aku tertarik kepada satu bahagian dalam penyampain beliau berkenaan satu topic yang agak unik iaitu ‘Sayang anak tangan-tangankan…’. Walaupun nampak seperti biasa tetapi ustaz Rujhan menyampaikannya dalam dimensi yang lain. Biasanya, masyarakat faham bila mana pepatah Melayu ini digunakan, maksudnya kalau sayang anak tangan-tangankan ialah merotan atau memukul anak. Maka, ramailah dikalangan ibu bapa hari ini yang menggunakan pepatah ini dalam kehidupan mereka sehinggakan kita melihat ramai dikalangan anak-anak yang dipukul oleh ibu bapa mereka sehingga cedera. Ada yang lebih malang lagi, baru-baru ini, tersiar di berita mengenai kematian seorang budak yang berumur 3 tahun akibat didera oleh ayah tirinya. Masyallah, kenapa semua ini boleh berlaku? Adakah kerana mereka terlalu sayangkan anak mereka dan tidak mentafsirkan secara tepat pepatah Melayu ini sehinggakan mereka tidak menyedari atas perbuatan mereka? Inilah yang aku rasakan bahawa perlu ada jalan penyelesaiannya agar tidak akan berulang tragedy yang sama.

Sayangkan anak tangan-tangankan, begitulah tajuknya. Ustaz Rujhan memberikan maksud iaitu beliau mengajak semua ibu bapa melihat perkataan ‘tangan’ itu diterjemahkan mengikut pandangan Islam. Apa yang dimakdsudkan dalam Islam ialah tangan bererti apa yang boleh dilakukan oleh tangan antaranya menyediakan keperluan makan minum anak-anak. Tugas yang utama oleh ibu bapa ialah menyediakan makan minum secukupnya kepada anak-anak. Tidak hairanlah pada hari ini kita lihat ibu bapa melaksanakan tanggungjawab mereka untuk menyediakan makan minum anak-anak mereka. Tetapi malangnya, sumber rezeki yang mereka perolehi dicelahi dengan sumber-sumber yang haram antaranya mengambil hak orang lain, rezeki atau gaji yang diperolehi dicelahi dengan sumber haram iaitu ada dikalangan ibu bapa yang ‘mencuri’ masa ketika melaksanakan kerja dan banyak lagi perbuatan yang mana halal pekerjaannya namun dicelahi dengan perkara yang haram.

Maksud kedua iaitu tangan itu sentiasa membelai anak-anak. Maksud membelai anak-anak ialah memberikan kasih saying yang secukupnya kepada anak-anak bukan sahaja dalam aspek didikan tetapi juga dari aspek perhatian. Ramai ibu bapa pada hari ini memandang remeh berkenaan perkara ini. Ada dikalangan ibu bapa yang tidak mahu melayan apa sahaja yang ingin ditunjukkan oleh anak-anak mereka mengenai prestasi sekolah mereka menyebabkan anak-anak kecewa dan memendam rasa. Perkara ini sekiranya tidak dibendung akan menyebabkan anak-anak bila mana mereka besar nanti tidak akan rapat dengan ibu bapa mereka lantaran ibu bapa mereka tidak cuba mendekati dan melayani perasaan mereka ketika mana mereka kecil. Mereka juga memerlukan pengisian emosi yang cukup daripada ibu bapa mereka iaitu bukan sekadar ibu bapa mengisi keperluan jasmani mereka.

No comments:

Post a Comment